Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpeluang melawat dan merasai keenakan buah tomato - yang ditanam dengan sistem berteknologi di Green Tech Farm, Baku, pada Sabtu.

Dr Mahathir yang tiba kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan (1 tengah hari Malaysia) diiringi Timbalan Presiden Azersun, Tahir Goozal.

Pemimpin berusia 94 tahun itu dibawa meninjau kawasan tanaman, proses memetik dan pembungkusan buah tomato.

Beliau turut berkesempatan merasai sendiri keenakan dan kesegaran buah tomato tersebut yang menjadi antara produk makanan terbesar yang dikeluarkan oleh syarikat Azersun.

Azersun merupakan syarikat perladangan dan pengeluar makanan konglomeret terbesar di Azerbaijan selain pengeksport dan pembekal makanan terbesar di republik ini.

Rumah hijau, Green Tech Farm berkeluasan 35 hektar dengan dilengkapi teknologi moden dijangka menjadi perintis kepada sektor pertanian di Azerbaijan.

Pada tahun 2017, eksport buat tomato di Azerbaijan meningkat kepada 151,000 tan, dengan nilai jualan mencecah AS$ 151 juta.

98 peratus daripada jumlah tersebut dieksport ke Rusia - di mana eksport ke pasaran Rusia meningkat daripada 22 peratus kepada 33 peratus, menurut Eurofruit.