Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi penerima sulung Anugerah Khas Kelestarian Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) pada Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena ulang tahun ke-50 universiti itu di sini, hari ini.

Canselor USM yang juga Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan anugerah itu pada majlis tersebut.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak dapat menghadiri upacara konvokesyen itu hari ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya menerusi tayangan video yang disiarkan pada upacara konvokesyen itu mengucapkan terima kasih kepada USM di atas penganugerahan tertinggi berkenaan.

"Patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku menganugerahkan patik dengan Anugerah Kelestarian Canselor yang pertama kali diperkenalkan ini. Patik menerima anugerah ini dengan rasa tanggungjawab dan menjunjung kemuliaannya dengan penuh rasa insaf dan rendah diri.

"Menerima Anugerah Kelestarian Canselor tentunya secara peribadinya amat bermakna kepada saya terutamanya apabila ia adalah pengiktirafan oleh sebuah universiti yang telah mencapai usia 50 tahun. Sebelum ini USM telah menganugerahkan saya Ijazah Kehormat Doktor Sains.

"Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada USM kerana menganggap saya layak menerima anugerah-anugerah yang begitu berprestij dan tinggi nilainya," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengucapkan tahniah kepada USM di atas sambutan ulang tahun ke-50 dan berharap universiti itu dapat menilai semula kejayaan serta kekurangan sepanjang tempoh berkenaan seterusnya mencari strategi baharu untuk menetapkan hala tuju masa depan USM.

"Hala tuju ini harus berupaya mengekalkan dan memajukan universiti ini sebagai penggerak kepada usaha transformasi pemikiran dan pendidikan untuk kelestarian hari esok. Hala tuju ini tidak seharusnya tinggal sebagai satu konsep dan falsafah pemikiran akademik semata-mata," katanya.

Beliau berkata peranan universiti bukan hanya sekadar bersifat kreatif dan inovatif dalam meneroka ilmu baharu sebaliknya mempunyai keupayaan untuk bergerak seiring dengan masyarakat dalam memahami serta memanfaatkan sains, kejuruteraan dan teknologi untuk kebaikan manusia sejagat.

Menurutnya, kerjasama erat antara ahli akademik dan mereka yang bekerja di luar bidang akademik harus dipertingkatkan bagi memahami kehendak sebenar negara dalam arus modenisasi dan era revolusi industri 4.0.

Dr Mahathir turut mengingatkan para pelajar supaya keluar dari zon selesa dan bersama-sama mengubah budaya ilmu sedia ada untuk nembentuk pemikiran yang lebih matang dan kritikal.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan kepada tokoh sukan negara, Datuk Nicol Ann David, Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada pemegang Hadiah Nobel bidang Fizik pada tahun 2014, Profesor Shuji Nakamura manakala Ijazah Kehormat Sarjana Pentadbiran Awam kepada mantan Pendaftar Wanita Pertama USM, Datuk Siti Mazenah Saad.

Pada tahun ini, 6,338 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk tiga penerima Ijazah Kehormat, empat Profesor Emiratus, 508 Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 1,564 Ijazah Sarjana, 4,266 Ijazah Sarjana Muda, dan 45 orang Diploma Kejururawatan.

Upacara konvokesyen USM bermula pada 23 sehingga 29 September ini. - BERNAMA