Tutup

"Dr Mahathir perlu pikul tanggungjawab" - Setiausaha AMK

"Dr Mahathir perlu pikul tanggungjawab"  - Setiausaha AMK
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan tuntut Dr Mahathir letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan pikul tanggungjawab terhadap prestasi tidak memberangsangkan Pakatan Harapan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syukri Razab hari ini menuntut Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memikul sepenuhnya tanggungjawab terhadap prestasi tidak memberangsangkan kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, Syukri juga menggesa Dr Mahathir jangan cuba melepas diri dengan menuding jari kepada orang lain.

Berikut kenyataan penuh Syukri Razab:

Saya membaca kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertajuk ‘Dr M beri amaran PH boleh jadi kerajaan sepenggal’ (Malaysiakini).
Dalam kenyataan tersebut, Dr Mahathir memberi amaran bahawa kerajaan hari ini boleh menjadi kerajaan sepenggal sekiranya pemimpinnya tidak mahu berubah.

Beliau juga mengatakan pemimpin hari ini sibuk bergaduh sesama sendiri sehingga kerja-kerja untuk rakyat terabai.
Saya akui dan bersetuju bahawa pemimpin Pakatan Harapan perlu kembali fokus kepada agenda rakyat.
Usaha yang berlipat kali ganda perlu dilakukan bagi memastikan isu-isu periuk nasi rakyat dapat diselesaikan segera.

Namun alangkah bagusnya jika Dr Mahathir lebih bersikap rendah diri dan tidak menuding jari atas kelemahan prestasi kerajaan Pakatan Harapan hari ini.

Sewajar beliau mengakui bahawa kekalahan demi kekalahan yang dialami Pakatan Harapan dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil adalah menifestasi kelemahan jentera kerajaan.

Ironinya, Dr Mahathir sendiri merupakan ketua kepada jentera kerajaan yang sedang dilihat lemah ini.

Oleh itu tak perlu Dr Mahathir cuba melepas diri dengan menuding jari kepada orang lain.

Apa juga yang berlaku terhadap hal ehwal dalaman Pakatan Harapan sebenarnya tidaklah begitu penting untuk rakyat.

Apa yang lebih utama untuk rakyat adalah kebajikan dan masalah beban sara hidup yang sekian lama mereka hadapi dapat diselesaikan segera.

Malah tidak jelas apa sebenarnya yang cuba diperkatakan oleh Dr Mahathir mengenai pemimpin Pakatan Harapan sibuk bergaduh.

Apa juga justifikasinya, sokongan rakyat pasti akan lebih baik sekiranya kerajaan hari ini benar-benar melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu.

Lupakah Dr Mahathir bahawa beliaulah yang mula-mula mengatakan bahawa manifesto Pilihan Raya itu bukan kitab suci.

Maka tidak hairan jika prestasi kerajaan hari ini tidak bertepatan dengan kehendak sebenar yang rakyat idam-idamkan.

Jika benar ada menteri yang gagal, lalu apa yang menghalang Dr Mahathir untuk merombak Kabinet?

Apa perlu Dr Mahathir mengekalkan Menteri Kereta Terbang yang telah menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan menjadi bahan lawak jenaka.

Akhirnya Dr. Maszlee Malik yang tertendang walaupun ramai yang berpandangan Menteri Kereta Terbang sewajarnya disingkirkan lebih awal.

Peringatan agar kerajaan Pakatan Harapan lebih serius dalam melaksanakan agenda rakyat sudah dibuat sejak hari pertama Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan.

Namun, sehingga hari ini usaha tersebut kelihatan terlalu lemah dan perlahan.

Kekalahan demi kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil juga nampaknya gagal menjadi iktibar untuk kerajaan bermuhasabah.

Oleh itu secara tuntasnya, saya mendesak agar Dr Mahathir sebagai ketua kerajaan untuk mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan demi kekalahan Pakatan Harapan ini.

Saya percaya Perdana Menteri cukup sedar yang prestasi kerajaan di bawah pimpinan beliau jauh terkebelakang berbanding harapan sebenar rakyat.

Justeru atas dasar tanggungjawab, wajarlah Dr Mahathir sendiri sebagai Perdana Menteri Malaysia meletak jawatan.



* Artikel berikut berdasarkan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.



Tag: Setiausaha AMK gesa PM letak jawatan, jangan tuding jari, Syukri Razab, Setiausaha AMK, Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, Pakatan Harapan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.