Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya pada bila-bila masa untuk berdebat secara terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pelbagai isu berbangkit termasuk 1MDB dengan disaksikan rakyat jelata.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada salah seorang peserta yang hadir pada majlis "Bicara Negara bersama Tun Dr Mahathir Mohamad" di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Parlimen boleh melaksanakan undi tidak percaya untuk menjatuhkan Najib sekiranya pemimpin negara itu tidak mendapat kepercayaan rakyat.

Namun begitu, katanya, memandangkan ahli UMNO bukan majoriti maka ia terpaksa mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli Barisan Nasional (BN) yang lain.

Menurut Dr Mahathir lagi, beliau dapati ahli UMNO agak lemah kerana tidak berani untuk berbuat apa-apa pun bagi menjaga kepentingan, ataupun mungkin takut tidak dipilih menjadi calon pilihan raya, sebab itu agak sukar untuk mengadakan undi tidak percaya.

Dr Mahathir juga memberitahu bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, mahu meletakkan jawatan.

Katanya, Speaker Dewan Rakyat itu telah datang menemuinya dan memberitahu tidak mahu lagi menjadi Speaker.

Dr Mahathir juga memberitahu, beliau bersedia dipecat daripada menjadi ahli UMNO sekiranya pucuk pimpinan parti mengambil keputusan sedemikian kerana tindakannya melawan presiden parti.

Di majlis yang sama, mantan perdana menteri itu turut mengulangi ramalannya yang BN akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya UMNO tidak menggugurkan Najib sebagai presiden.

Beliau turut bimbang, sekiranya BN kalah pada PRU14, UMNO akan lenyap dan adalah amat sukar untuk dipulihkan.

"Saya berusaha berhempas pulas nak dia jadi Perdana Menteri, takkanlah saya tiba-tiba nak menjatuhkan dia. Tapi dah banyak sangat yang dia buat yang tak kena, sebab tu saya berpendapat masa sudah tiba untuk dia berhenti daripada menjadi perdana menteri," kata Dr Mahathir pada majlis yang dihadiri lebih 1,000 orang itu.

Antara pemimpin UMNO negeri yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Bahagian UMNO Kampar, Datuk Mohd Radzi Manan dan bekas Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Hamidah Osman dan juga veteran UMNO negeri.