MALAYSIA
Dr Mahathir sertai ribuan jemaah solat Aidiladha

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beramah mesra dengan seorang bayi Palestin Mariya Mohamad Amr yang didukung ayahnya Dr Mohamad Amr selepas menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.
Solat sunat itu diimamkan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Dr Mahathir ketika ditemui pemberita kemudian mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.
"Inilah harapan kita iaitu kita belajar tentang berkorban dan pentingnya pengorbanan di kalangan umat Islam," katanya.
Terdahulu, Syaikh Ismail dalam khutbah bertajuk Aidiladha: Di manakah Pengorbanan Kita? menyeru setiap umat Islam mengambil sikap prihatin dan bersedia berkorban menghulurkan bantuan kepada seluruh umat Islam yang hidup dalam kesusahan di serata dunia.
Beliau berkata pengorbanan dan bantuan adalah berdasarkan kemampuan sama ada dengan wang, tenaga, buah fikiran dan doa.
"Semoga dengan secebis pengorbanan yang kita hulurkan, ia tetap dinilai sebagai amal soleh dan sebagai bukti kejujuran iman kita kepada Allah SWT," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami