Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melakukan kunjungan hormat kepada Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani di pejabatnya di sini.

Dr Wan Azizah yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Qatar tiba di Emiri Diwan Corniche, pejabat Emir itu pada 9.30 pagi waktu tempatan.

Selepas kunjungan itu, Dr Wan Azizah mengunjungi Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Qatar Sheikh Abdullah bin Nasser bin Khalifa Al Thani dan sebelumnya mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Pentadbiran, Hal Ehwal Buruh dan Sosial (ADLSA) Yousuf Mohammed Al Othman Fakhro.

Di ADLSA, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menghadiri taklimat mengenai hal ehwal sosial Qatar.

Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke Qatar selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lepas.

Dr Wan Azizah diiringi oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

-- BERNAMA