Kerajaan negeri Sabah tidak teragak-agak untuk menyekat pendakwah terkenal Dr Zakir Naik daripada memasuki Sabah sekiranya terdapat laporan pendakwah itu menggunakan unsur-unsur ekstremis dalam isu keagamaan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan daripada pihak jabatan agama negeri berhubung perkara itu.

"Saya akan dapatkan laporan dari pihak agama kalau sekiranya itu cukup jelas, kita tidak teragak-agak untuk menghalang (Zakir).

"Jika itu terbukti, kita akan mengambil tindakan sewajarnya. Ini bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi belum sampai ke pengetahuan saya," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan borang keahlian Parti Warisan di Kampung Biau, di sini pada Khamis.

Sarawak dilaporkan telah menghalang pendakwah berkenaan daripada memasuki negeri itu kerana kenyataannya yang didakwa mempunyai unsur hasutan yang boleh menimbulkan situasi bahaya terhadap keharmonian etnik dan agama di negeri itu.

Antara kenyataan kontroversi Zakir, semasa ceramahnya pada 3 Ogos lepas ialah beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Dr Mahathir.

Zakir, warga India, yang dikehendaki di negara asalnya, atas tuduhan pengubahan wang haram, turut dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap masyarakat Cina di Malaysia sebagai respons kepada desakan supaya beliau diusir dari negara ini.

--BERNAMA