MALAYSIA
Dr Zakir dibenar berceramah di Melaka, tetapi perlu tukar tajuk - Zahid

AHMAD ZAHID: Tajuk yang dipilih perlu lebih sesuai dan tidak mengundang kontroversi serta polemik bukan sekadar dalam komuniti penganut Hindu, tetapi juga masyarakat Islam. - Foto Astro AWANI
Kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan pendakwah dari India, Dr Zakir Naik meneruskan ceramahnya di Melaka dengan syarat ia perlu membawa tajuk yang berbeza, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, keputusan itu dibuat hasil dari perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan kompromi daripada pihak penganjur.
Tegas beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, tajuk yang dipilih perlu lebih sesuai dan tidak mengundang kontroversi serta polemik bukan sekadar dalam komuniti penganut Hindu, tetapi juga masyarakat Islam.
"Kita ada banyak lagi perkara yang boleh dijadikan tajuk tetapi kenapa tajuk itu dipilih?
"Islam itu syumul dan tinggi martabatnya, mengapa mesti direndahkan atau disamakan dengan lain-lain fahaman dan agama?" ujarnya selepas hadir menyempurnakan Lab Panel Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
"Kita hendaklah berfikiran terbuka, jangan jadi jumud dan beku.
"Asalkan ianya bukan Islam liberal, plural atau apa sahaja bentuk 'Islam' lain," katanya.
Dr Zakir Naik, yang dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 2013, dijadual mengadakan ceramah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), Ahad ini dengan tajuk 'Persamaan Antara Hinduisme dan Islam'.
Pada Ahad lepas, lebih 30,000 orang memenuhi Stadium Gong Badak di Kuala Terengganu bagi mendengar ceramah pendakwah yang memiliki penilaian kritis dalam pemahaman Islam itu.
Beliau berada dalam siri jelajahnya di Malaysia bermula 9 hingga 20 April 2016.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami