Pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik, merupakan pemegang taraf penduduk tetap (PR) di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau mengesahkan perkara tersebut susulan laporan Hindustan Times di India pada November 2016, menyatakan Zakir telah diberi kerakyatan Malaysia.

Dakwaan itu bagaimanapun telah dinafikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Beliau menerima status PR itu sejak kira-kira lima tahun lalu. Saya ingin mengesahkan Zakir memiliki status PR di Malaysia, tetapi dia bukan warganegara Malaysia.

"Dia sudah memegang status itu sebelum saya menjadi Menteri Dalam Negeri lagi," katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC) 2017 di sini hari ini.

Mengulas laporan mengenai Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) yang dikatakan memutuskan untuk mendapatkan notis Interpol terhadap Zakir, Ahmad Zahid berkata Malaysia sedia memberi kerjasama sepenuhnya jika kerajaan India memohon Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dalam siasatan terhadap Zakir.

MLA boleh diperolehi jika negara itu ada hubungan dan perjanjian dengan Malaysia, katanya.

"Jika ada permintaan (daripada kerajaan India) kita akan bekerjasama. Ini bukan soal serah menyerah tetapi soal siasatan.

"Kita mengikut sistem perundangan dalam negara dan kerangka hubungan diplomatik sedia ada," kata Ahmad Zahid.

Zakir didakwa menghasut golongan muda Islam untuk terbabit dalam keganasan dan menganjurkan permusuhan antara masyarakat berasaskan agama dan kaum.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memaklumkan bahawa Zakir dibenarkan masuk ke negara ini kerana tidak tersenarai sebagai entiti pengganas dalam undang-undang antarabangsa.

Menurut KDN, nama Zakir tidak terkandung dalam senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) 1988 dan UNSCR 1267.