Kerajaan Negeri Terengganu tidak mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membawa tokoh pendakwah terkenal Dr Zakir Naik ke negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau menjelaskan hanya penginapan dan makan tokoh ilmuan Islam itu dibiayai kerajaan negeri manakala perbelanjaan lain dibiayai sendiri oleh Dr Zakir menerusi Islamic Research Foundation.

"Kerajaan negeri hanya menyediakan (menanggung) penginapan dan makan minum sepanjang beliau berada di sini," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi, ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan negeri mengeluarkan kos yang banyak bagi membawa Dr Zakir ke negeri ini.

MESTI BACA: Dr Zakir Abdul Karim Naik - Tokoh Maal Hijrah 1435H peringkat antarabangsa
Dr. Zakir Naik

Ahmad Razif berkata Dr Zakir sememangnya pejuang agama yang wajar dicontohi malah rakyat Terengganu bertuah kerana pendakwah terkenal itu bersetuju hadir untuk menyampaikan ceramah.

MESTI BACA: Ceramah Dr Zakir di UTeM tidak boleh diteruskan - Ketua Polis Negara

Undangan kepada Dr Zakir, 50, dibuat pada tahun lepas apabila Ahmad Razif bertemu tokoh ilmuan Islam itu di Korea Selatan semasa melakukan lawatan kerja.

Terdahulu, dalam ceramah bertajuk 'The Importance of Unity Among Muslim Ummah' (Pentingnya Perpaduan Dalam Kalangan Ummah Islam) selama dua jam di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, Dr Zakir menekankan akan pentingnya bersatu dalam mengukuhkan Islam.

Katanya, umat Islam perlu mengelak perbalahan sesama sendiri kerana ia hanya akan merosakkan perpaduan serta amat merugikan.

Sesi ceramah bermula pada 9.45 malam dan disusuli dengan sesi soal jawab sebelum tamat kira-kira 1 pagi.

Hampir 30,000 orang memenuhi bahagian dalam dan luar stadium untuk mengikuti ceramah itu.

Dr Zakir yang pertama kali berkunjung ke Terengganu akan berada di sini selama lima hari dan dijadual menyampaikan ceramah di pelbagai tempat termasuk universiti.

Sebelum menceburi bidang dakwah, Dr Zakir yang pernah dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa pada 2013, terlatih sebagai doktor perubatan.