Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking hari ini mengumumkan DreamEDGE Sdn Bhd sebagai syarikat utama Malaysia untuk pembangunan kereta nasional ketiga.

Jelasnya, DreamEDGE telah menyediakan kerjasama strategik teknikal dan jangka panjang untuk menyokong pelanggan di dalam dan di luar Jepun, dengan jurutera Malaysia tempatan yang turut berpusat di Jepun.

"Prototaip pertama akan diumum pada Mac 2020 selain pelancaran model yang dijangka pada Mac 2021.

"Selepas pengumuman hari ini, model kemampuan kejuruteraan akan diumum pada akhir bulan ini selain penambahan tenaga kerja akan dibuat pada pertengahan September tahun depan," katanya pada sidang media pengumuman kereta nasional ketiga di sini, pada Jumaat.


Sepanjang sejarah 10 tahun, syarikat ini mempunyai pasukan pembangunan dalaman yang mampu memberi tumpuan kepada inovasi teknologi, dari idea untuk prototaip kepada pengeluaran dalam skala yang besar.

Syarikat itu telah membangunkan keupayaan dan pengalaman dalaman yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan automotif melalui tenaga kerja yang mahir selain mampu menawarkan masa yang lebih singkat dalam projek-projek kejuruteraan.

DreamEDGE juga telah membina pengalaman dalam pelbagai aplikasi melalui reka bentuk merentas industri termasuk minyak dan gas, rel, pertahanan, perkapalan dan digital.

Selain itu, ia juga telah membangunkan keupayaan robotik dan meningkatkan keupayaan reka bentuk realiti yang menambah nilai kepada pembuatan pintar untuk industri automotif.

Sebagai permulaan, kereta nasional ketiga akan mengambil pendekatan baru melalui model eksklusif yang memaparkan teknologi canggih, tetapi mampu dimiliki.

Kereta ini juga akan direka bentuk dan dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera Malaysia yang menumpukan kepada sistem utama kenderaan.

Daihatsu Motor Company akan menyediakan sokongan kepada DreamEDGE dalam teknologi canggih untuk kenderaan berkenaan.

Sebelum ini, Darell menjelaskan, projek kereta nasional ketiga boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan pembangunan vendor dalam bahagian dan komponen automotif.

Katanya, projek itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar seperti menjana pekerjaan baharu, pembangunan vendor dalam bahagian dan komponen automotif termasuk bateri kenderaan elektrik, dan merangsang pengumpulan dan pemprosesan data, yang berguna untuk industri lain yang berkaitan.