Pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan di Bukit Aman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan hampir RM2.08 juta.

Dalam kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tertuduh, Mohd Ismail Syed Merah, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara selepas ketujuh-tujuh pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

"Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM10,143.47 dan RM40,000 melalui pembelian pelan perlindungan insurans yang didaftarkan atas namanya pada 4 Disember 2014.

"Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh yang berkhidmat di Jabatan Logistik Bukit Aman itu didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan RM6,283.09 bagi pembelian pelan perlindungan insurans atas nama anak kandungnya, Nur Aqilah Mohd Ismail yang diuruskan Faizah di tempat sama pada 16 Disember 2014.

"Bapa kepada dua orang anak itu didakwa bagi pertuduhan keempat dan kelima iaitu melakukan perbuatan sama dengan membuat tambahan pelaburan pelan insurans atas namanya itu sebanyak RM993,716.91 dan RM500,000 di tempat sama masing-masing pada 16 Disember 2014 dan 26 Februari 2015," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu jelas kenyataan itu lagi, bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa melakukan pengubahan wang haram sebanyak RM499,620 dan RM29,950 hasil aktiviti haram dengan menggunakan dua akaun bank pihak ketiga dekat Batu Pahat, pada 8 Oktober 2015 serta 28 Disember 2015.

"Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda sehingga lima kali ganda nilai terbabit atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan," jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil menawarkan jaminan RM300,000 bagi semua pertuduhan, namun dibantah peguam yang mewakili tertuduh, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mencadangkan mahkamah memberikan ikat jamin hanya RM60,000.

"Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan dan memaklumkan nama tertuduh disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk keluar daripada negara.

"Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Januari 2017," jelas kenyataan itu.