Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dan Negeri Sembilan dan seorang ketua pegawai eksekutif, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan perjuangan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaren, 60, ADUN Gadek, G. Saminathan, 34 dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) S. Chandru, 38, masing-masing berdepan satu pertuduhan dibawah seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, manakala Saminathan turut berdepan satu pertuduhan lain mengikut seksyen 130JB(1)(a) kanun yang sama.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh ketiga-tiga tertuduh sejurus empat pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut tiga pertuduhan berasingan dibawah seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, ketiga-tiga mereka didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Taman Ayer Keroh Heights di sini sekitar 8.30 malam hingga 10.50 malam 28 November lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara sepanjang hayat atau pemenjaraan maksima 30 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk melakukan kesalahan itu.

Saminathan yang juga Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka turut berdepan satu pertuduhan berasingan kerana memiliki item-item berunsur perbuatan keganasan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di pejabatnya di Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di sini sekitar 10.25 pagi, 10 Oktober 2019 lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda dan hendaklah dilucutkan hak mana-mana item tersebut.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Izhanudin Alias manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili lima barisan peguam yang diketuai oleh Ramkarpal Singh.

Elesabet pada penghakimannya kemudian menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu kira-kira 100 ahli keluarga serta penyokong termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Pengerusi DAP yang juga Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran memenuhi ruang mahkamah sebaik ketiga-tiga tertuduh dibawa masuk sekitar 7.40 pagi dengan dikawal ketat.

Petugas media turut dihalang melepasi ke aras dua mahkamah bagi mendengar prosiding pendakwaan dan hanya keluarga dan pemimpin-pemimpin tertinggi dibenarkan masuk ke kamar Mahkamah.

Iskandar ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, tiada jaminan ditawarkan kepada semua.

Tertuduh dituduh dibawah Bab VIA (6A) atas kesalahan berkaitan dengan keganasan.