Dua Ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan yang ditahan bersama lima suspek disahkan cuba menghidupkan semula kumpulan pemberontak Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kesemua suspek ditahan dalam operasi yang dilancarkan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kedah.

Menurut Ayob Khan, suspek disyaki mempromosi, menyokong, menghasut, mengalakkan dan mencari dana serta mempunyai item berkaitan dengan kumpulan pemberontak itu.

"Tangkapan pertama Adun Negeri Sembilan, pada 18 November telah hadir pada program Hari Perwira LTTE di Melaka dan menyampaikan ucapan sokongan terhadap LTTE. Beliau dikesan mengedar risalah item-item berkaitan LTTE. Manalala Adun Melaka yang ditahan, penglibatan hampir sama dimana pada 28 November suspek telah hadir hari perwira LTTE di Melaka.

"Beliau disyaki menyokong dan mengedar item berkenaan kumpulan itu." katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Khamis.

Tambahnya, tangkapan dibuat selepas risikan dan siasatan dibuat Bahagian Counter-Terrorism sejak Februari, tahun lalu.


Tangkapan ketiga pula melibatkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang telah ditahan di Rawang, Selangor.

Pemeriksaan mendapati suspek merupakan penganjur Hari Perwira LTTE di Kuala Lumpur pada November setiap tahun dan memiliki barangan berkaitan kumpulan pemberontak itu.

Suspek juga pernah disabitkan kesalahan mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2016 yang membawa hukuman denda RM10,000.

"Tangkapan keempat merupakan lelaki 38 tahun yang juga Agen insurans. Suspek disyaki merancang serangan di Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka dan mempunyai item berkaitan LTTE."

"Tangkapan kelima, suspek seorang lelaki dari Sungai Siput Perak. Pernah menyertai perjumpaan sulit LTTE di Perak dan terlibat untuk merekrut LTTE di Malaysia. Suspek memiliki item LTTE dan terlibat dalam insiden mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka pada 2016," tambahnya.

Tangkapan keenam yang merupakan suspek berusia 27 tahun ditahan di Kulim, Kedah dipercayai menyokong dan memiliki item berkaitan LTTE.

Tangkapan ketujuh merupakan lelaki berusia 52 tahun yang berjaya ditahan di Sungai Buloh, Selangor pada hari yang sama.

Suspek yang merupakan pengusahan kedai makan itu disyaki menyokong dan mempromosi LTTE di media sosial.

Kesemua suspek ditahan selama 38 hari dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.