Dua penjenayah lelaki anggota kumpulan 'trigger happy' yang melepaskan tembakan secara rambang dalam kejadian samun di Kangkar, Tebrau sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas Jumaat lalu berjaya ditahan.

Kedua-dua suspek ditahan secara berasingan pada awal pagi pada Isnin di kawasan Pasir Gudang dan awal pagi Selasa di Plentong.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata pada Sabtu lalu, kedua-dua suspek telah melakukan samun bersenjata di sebuah bank di Taman Moleh terhadap seorang mangsa dan telah membawa lari kereta jenis Myvi milik mangsa.

Bertindak atas risikan dan siasatan, pada awal pagi Isnin, polis Johor dengan bantuan Bukit Aman telah mengesan kenderaan Myvi curi yang dinaiki tiga suspek.

Suspek juga telah bertindak ganas dengan menghimpit dan melanggar kereta polis.

"Polis telah kenalkan diri tetapi suspek tidak berhenti dan melanggar kereta polis. Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar untuk suspek berhenti dan kereta suspek terbabas.

“Salah seorang suspek telah mengacukan senjata api kepada pihak polis dan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri, seorang suspek lolos dan seorang lelaki dan perempuan berjaya ditangkap," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Polis turut merampas sepucuk pistol jenis revolver dan sebutir peluru hidup.

Polis percaya wanita yang bersama dengan dua lelaki itu adalah teman wanita salah seorang suspek dan tidak terlibat dengan kejadian samun.

Bagaimanapun suspek wanita berumur 22 tahun terbabit bersama dua lelaki lelaki positif dadah jenis methaphetamin selepas ujian air kencing dijalankan.

Semakan rekod jenayah keatas dua suspek mempunyai jenayah lampau berkaitan samun, pecah rumah dan dadah selain salah seorang suspek adalah dikehendaki bagi kes samun di Sri Alam pada tahun 2007.

Susulan tangkapan itu, polis percaya berjaya menyelesaikan lima kes samun bersenjata api di sekitar Johor Bahru.

Jelas Kamarudin, pihaknya sedang menyiasat bagaimana suspek mendapatkan senjata api yang digunakan dalam kes samun terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 dan 4 Akta Senjata Api 1960.