Seramai 13 wanita warga asing dan dua lelaki dipercayai bapa ayam yang terlibat dalam sindiket pelacuran antarabangsa berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Putrajaya dalam beberapa serbuan di ibu negara, awal pagi ini.

Kesemua 13 wanita dan dua lelaki tempatan berusia 20 hingga 40-an itu ditahan dalam operasi Op Gegar yang dilakukan ke atas dua pusat urut dan sebuah hotel bajet di Taman OUG, Jalan Klang Lama antara pukul 11 malam hingga 1 pagi.

Ketua Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Putrajaya, Hidayatul Ehsan Ab Manaf berkata, 13 wanita itu ialah lapan warga Vietnam dan Thailand, Indonesia (tiga), serta masing-masing seorang warga Pakistan dan Filipina.

Menurutnya, kesemua mereka dipercayai menjalankan aktiviti tidak bermoral dan bekerja sebagai pelacur.

“Manakala dua lelaki tempatan yang ditahan berperanan sebagai penyelia dan orang tengah untuk mendapatkan pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini awal pagi ini.

Tambah Hidayatul Ehsan, pemeriksaan mendapati premis tersebut dikawal secara ketat selain dilengkapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak dikesan pihak penguat kuasa.

Katanya, beberapa peralatan seks ditemukan pada ketiga-tiga premis berkenaan.

“Malah, semakan mendapati wanita asing itu telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja sebagai pekerja seks,” katanya dan memberitahu kesemua mereka dibawa ke Kem Tahanan Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.