announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Dua beradik antara tiga maut dalam kemalangan di Gerik

Dua beradik antara tiga maut dalam kemalangan di Gerik
Ketika kejadian, tujuh sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari Kelantan untuk pulang ke rumah di Batu Kurau.
GERIK: Tiga termasuk dua beradik maut manakala tiga kanak-kanak parah selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 73 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu berhampiran Lawin di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan seorang kontraktor Mohd Azli Faizal Mansor, 33, memandu kereta jenis Honda Accord yang mengalami cedera parah di kepala lalu meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Katanya kontraktor itu yang memandu seorang diri dari arah Ipoh ke Gerik dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi yang dinaiki tujuh sekeluarga berada di laluan terbabit yang tidak sempat mengelak.

"Akibat kemalangan itu, dua beradik yang menaiki kenderaan pacuan empat roda iaitu pekerja kilang Rozita Khayri, 33, dan adiknya seorang suri rumah, Rashidah, 29, meninggal dunia di Hospital Gerik akibat cedera parah di beberapa bahagian badan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tiga kanak-kanak yang turut mengalami kecederaan parah ialah dua anak Rashidah, Muhammad Irfan Daniel Muzhaffar, 8 tahun dan Amanda Rafania Deyana, satu tahun serta seorang anak Rozita, Adam Rais Zulfahan, satu tahun dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.



Katanya seorang lagi anak Rashidah, Muhammad Harazz Darwish, tiga tahun tidak mengalami kecederaan dan pemandu pacuan empat roda itu Mohamad Ridzuan Khayri, 22 tahun hanya cedera ringan.

"Rozita yang duduk di sebelah pemandu pacuan empat roda meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Gerik akibat cedera parah di kepala dan adiknya Rashidah yang duduk di belakang pula meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital sama pada pukul 6 pagi ini," katanya.

Ismail berkata ketika kejadian, tujuh sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari Kelantan untuk pulang ke rumah di Batu Kurau.

Menurutnya, bedah siasat ke atas mayat dua beradik itu dan kontraktor yang beralamat Kampung Ulu Kenderong di sini dijalankan di Hospital Gerik dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Azizul Aswad Asaris berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.53 tengah malam lalu bergegas ke tempat kejadian bagi kerja-kerja menyelamat dua mangsa yang tersepit.

"Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat,"katanya.

-- BERNAMA


Tag: kemalangan, maut, hilang, meninggal dunia, nahas, siasatan, kereta, Hospital, Ipoh, Gerik



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.