Dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dengan kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 339, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhadapan Sekolah Kebangsaan Al Jabar, Dong, dekat Raub, petang Khamis.

Penunggang Mohamed Zulfikri Mohd Zul, 16, dan adiknya Nurul Syakirah, 14, kedua-duanya pelajar SMK Dong, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata, dalam kemalangan pada 2.30 petang itu, motosikal yang dinaiki dua beradik berkenaan dari arah Dong menghala ke Kota Bharu cuba memotong treler berkenaan dari arah sama, namun gagal.

"Ketika sedang melalui sebelah kiri treler itu, motosikal mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terjatuh ke kanan sebelum digilis tayar belakang treler itu menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.

"Kemalangan itu berlaku ketika waktu puncak semasa pelajar sedang pulang dari sekolah dan menurut saksi kedua-dua kenderaan dalam keadaan perlahan kerana jalan sibuk dan ramai pelajar sedang berjalan kaki di bahu jalan," katanya kepada Bernama, Khamis.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan pemandu treler muatan kayu itu telah dibawa ke Bahagian Narkotik IPD Raub untuk ujian air kencing.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.