Akibat terpengaruh dengan drama di televisyen, dua beradik bertindak melarikan diri dari rumah dalam satu kejadian di Kampung Teck Guan, dekat sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Mohd Haikal, 7, dan abangnya Mohd Afiq, 9, turut membawa beg berisi pakaian.

Ibu saudara mereka, Mariam Sanang, berkata dia hanya menyedari kehilangan dua kanak-kanak itu tengah hari semalam.

Kedua-dua kanak-kanak itu berjaya ditemukan di sebuah kebun kelapa sawit pada kira-kira jam 6.30 petang, hari sama.

Menurut Mariam, anak saudaranya memberitahu mereka cuba meniru babak drama yang ditonton di televisyen.

Mereka yang terkejut dengan jawapan itu walau bagaimanapun belum dapat mengenal pasti drama yang dimaksudkan.

Ketika melarikan diri, dua beradik berkenaan memaklumkan mereka mengelak daripada dilihat orang ramai.

Mariam bersyukur dua anak saudaranya itu ditemui selamat dan berjanji akan mengawal rancangan yang ditonton mereka selepas ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata tiada laporan rasmi dibuat berhubung kejadian, namun penemuan dua kanak-kanak itu dicatatkan.

Pihaknya mengesahkan dua kanak-kanak itu ditemui dengan selamat.

Terdahulu, kehilangan dua beradik itu tular di Facebook pada Selasa selepas Mariam meminta bantuan orang ramai untuk mencari kedua-dua mereka.