Dua beradik ditemui lemas di dalam kolam ikan di sebuah tapak projek berhampiran kediaman mereka di Bandar Baru Air Putih, Balik Pulau, pada Rabu.

Mayat kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berusia lima dan empat tahun itu ditemui terapung oleh ibu mereka pada jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki warga Indonesia yang juga bapa mangsa memaklumkan kejadian tersebut pada jam 1.15 tengah hari.

Lelaki berkenaan memberitahu dua anaknya terjatuh ke dalam kolam ikan yang mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter di tapak projek berhampiran rumah kongsi mereka.

"Ibu kanak-kanak itu memberitahu anaknya keluar bermain dan tidak pulang ke rumah menyebabkan dia keluar mencari mereka.

"Dia kemudian menemui selipar anaknya di tepi kolam sebelum melihat anak perempuannya terapung di dalam kolam tersebut.

"Dia kemudian memanggil suaminya untuk mencari anak lelakinya yang turut lemas dan menemuinya tidak lama kemudian," katanya di sini pada Rabu.

Katanya, pasukan perubatan mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia dan mayat mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut buat masa ini.