Dua beradik mangsa dera mahu ke sekolah

Dua beradik mangsa dera mahu ke sekolah
Menurut Hannah, kementeriannya kini sedang melihat kesesuaian penjagaan alternatif untuk dua beradik itu.
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak disyaki mangsa penderaan fizikal oleh tiga beranak di Pusat Bandar Puchong, menyatakan hasrat untuk pergi ke sekolah kerana dipercayai tidak pernah mengikuti proses pembelajaran formal seperti kanak-kanak lain sepanjang bawah suspek yang juga saudara mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata hasrat berkenaan disuarakan kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun yang ditemui ketika lawatan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, pada Isnin.

Menurutnya, kedua kanak-kanak yang kini dipantau di Hospital Serdang itu kini masih memerlukan rawatan bagi memulihkan kesihatan mereka sepenuhnya.

“Ketika lawatan, kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun iaitu abang kepada kanak-kanak perempuan itu sedang tidur kerana berada dalam keadaan yang sangat lemah.

“Jadi kita berterima kasih kerana dalam Hospital Serdang ada sekolah... tetapi sekarang kita tumpukan perhatian untuk kesihatan mereka kerana si abang masih ada luka-luka baru. Jika tahap kesihatan mereka memuaskan dan boleh ke sekolah, mereka akan mengikuti sesi itu,” katanya ditemui ketika melawat ke Sekolah Rendah Agama Ibnu Khatir, Sungai Penchala, di sini hari ini.
BACA: Tiga beranak direman, jadi suspek dera dua kanak-kanak

Hannah berkata, kementeriannya kini sedang melihat kesesuaian penjagaan alternatif untuk dua beradik itu selepas tempoh pemantauan di hospital.

“Sekarang JKM sedang cari ahli keluarga lain, jika ada ahli keluarga lain yang mahu jaga mereka, JKM akan siasat latar belakang dan pastikan dulu mereka selamat di bawah jagaan keluarga sebelum diserahkan.

“Dalam masa sama setakat ini ada tiga badan bukan kerajaan (NGO) dari pusat jagaan yang telah menawarkan diri untuk menjalani mereka. Kita akan lihat kesesuaian nanti,” katanya.

Dalam masa sama, Hannah mengingatkan masyarakat agar menjadi lebih peka dalam melaporkan sebarang situasi yang meragukan menjurus kepada kejadian penderaan terhadap kanak-kanak dengan melaporkan ke talian NUR 15999 atau berdepan tindakan undang-undang.

“Berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001 Seksyen 28 penalti sebanyak RM5,000 kepada anggota keluarga tidak melaporkan penderaan seksual kanak-kanak, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua duanya.

“Manakala berdasarkan Seksyen 29A mana-mana orang boleh melaporkan kes penderaan kepada pegawai kebajikan masyarakat dan bagi Seksyen 31(Pengabaian dan Penderaan) denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya dan mandatori perintah khidmat masyarakat tidak boleh kurang daripada 36 jam dan tidak lebih daripada 240 jam secara agregat dalam tempoh masa tidak melebihi 6 bulan daripada tarikh perintah,”katanya.

Ahad lalu, dua beradik berkenaan diselamatkan setelah polis menahan tiga beranak termasuk seorang remaja perempuan berusia 13 tahun kerana disyaki melakukan penderaan ke atas dua kanak-kanak itu di Pusat Bandar Puchong.

Siasatan awal mendapati mangsa sudah tujuh tahun tinggal bersama suspek selepas kedua-dua ibu bapa mereka berpisah.




Tag: dera, Hannah Yeoh, sekolah, Hospital Serdang, Wan Azizah Wan Ismail


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.