Dua fasilitator yang dalam perjalanan untuk menyampaikan ceramah di Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah kereta di Kilometer 43 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di sini pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 8.45 pagi itu, mangsa, Eddie Mustakim Busu, 37, dan Nor Hasmini Ismail, 32, cedera parah dan maut di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Zulhairi Salamat, 25, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Machang.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Abdul Ghani ketika dihubungi memaklumkan semasa kejadian, kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki mangsa dari arah Kuala Krai menghala Kota Bharu itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu.

Katanya, mangsa yang maut merupakan penumpang hadapan dan belakang kereta manakala pemandunya pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.