'Dua hari sakit, terus mati' - Penduduk Asli Kuala Koh bimbang penularan penyakit misteri

'Dua hari sakit, terus mati' - Penduduk Asli Kuala Koh bimbang penularan penyakit misteri
Penduduk Asli kaum Batek yang berada di Kampung Kuala Koh mendakwa serangan penyakit yang masih tidak diketahui puncanya lagi menyerang dalam tempoh singkat sebelum meninggal dunia. -Gambar fail
GUA MUSANG: Penduduk Asli kaum Batek yang berada di Kampung Kuala Koh mendakwa serangan penyakit yang masih tidak diketahui puncanya lagi menyerang dalam tempoh singkat sebelum meninggal dunia.

Menurut seorang penduduk Asli, Kulim Tebu, 70, penyakit itu menyerang dalam tempoh singkat sebelum mangsa sempat mendapatkan rawatan dan terus meninggal.

"Ahli keluarga saya ada dua orang kena penyakit pelik ini, dalam dua hari terus meninggal tanpa sempat bawa ke hospital," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan di pusat kesihatan sementara penempatan Orang Asli Kuala Koh.

"Mereka mula dengan batuk, demam, kurus badan mendadak lepas tu sukar bernyawa lepas tu mati, tak sampai tiga hari," katanya.
Beliau mendakwa penyakit ini disifatkan pelik bahkan ada kalangan rakan sekampungnya menyifatkan penyakit ini sebagai 'hantu' atau gangguan sihir.

Senada dengan beliau, Pinja Punai, 22, yang berkata penyakit yang dihadapi ini menyebabkan gangguan pada pernafasan.

"Kita makan panadol, ubat demam tak jalan, susah dia kena penyakit dua hari kurus kering lepas itu mati," katanya.

Punai dan Kulim ialah di antara penduduk Asli Batek yang mendapatkan rawatan di Pusat Pemeriksaan Kesihatan yang diwujudkan di penempatan Asli di Kuala Koh.

Seramai lapan petugas kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas lebih 20 penduduk Asli setiap hari.

Mereka yang mendapatkan rawatan di pusat pemeriksaan sementara ini tidak menunjukkan simptom penyakit berkenaan, namun kulit mereka kebanyakannya kering dan bersisik.

Masyarakat Asli di sini juga sering mendapatkan rawatan secara berkala di Klinik Kesihatan Aring serta pemeriksaan oleh petugas kesihatan di kawasan berkenaan.