Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Dua juta kediaman dengan 6.7 juta penduduk di Selangor akan dibanci

Dua juta kediaman dengan 6.7 juta penduduk di Selangor akan dibanci
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor Muhammad Amri Idris (dua, kiri) menunjukkan poster Banci 2020 serta memperkenalkan 'vest' kakitangan Jabatan Perangkaan Malaysia. - BERNAMA
SHAH ALAM: Sebanyak dua juta tempat kediaman di Selangor dengan 6.7 juta penduduk akan terlibat dalam pelaksanaan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) yang bermula Selasa lepas hingga 24 Okt ini.

Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Selangor, Muhammad Amri Idris berkata daripada jumlah tempat kediaman itu, lebih 400,000 akan dipilih menerima poskad untuk pelaksanaan banci fasa pertama bagi membolehkan responden mengisi soal selidik secara dalam talian.
"Pengedaran poskad oleh petugas banci yang mengandungi kod tempat kediaman akan membolehkan responden mengisi maklumat tanpa perlu pra pendaftaran melalui portal banci (eCensus) https://ecensus.mycensus.gov.my/.

"Bagi yang tidak menerima poskad itu, mereka masih boleh memanfaatkan portal sama, cuma perlu mengisi maklumat pada modul pra pendaftaran dan mereka akan menerima kod tempat kediaman melalui emel yang didaftarkan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya amat menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat yang diperlukan Banci 2020 secara dalam talian, namun bagi penduduk yang tidak mahir dengan cara itu, mereka akan dibanci menerusi kaedah bersemuka.

Tambah beliau, bagi memastikan tahap keselamatan penduduk sentiasa terjamin, pembanci dan pengedar poskad akan menunjukkan kad kuasa pegawai banci serta surat pelaksanaan banci semasa melakukan tugasan berkenaan.

Malah katanya, orang ramai juga boleh mengenal pasti petugas banci kerana mereka akan sentiasa memakai uniform rasmi Jabatan Perangkaan bagi mengelakkan berlakunya sebarang penyamaran.

Muhammad Amri berkata bagi menjayakan Banci 2020, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Penerangan Negeri Selangor untuk memastikan penduduk di negeri ini mendapat maklumat pelaksanaan banci dengan tepat menerusi pelbagai program hebahan jabatan itu.

Banci 2020 fasa pertama dilakukan secara dalam talian bermula Selasa lepas hingga 30 Sept manakala fasa kedua iaitu kaedah bersemuka diadakan pada 7 hingga 24 Okt ini di seluruh negara.

-- BERNAMA


Tag: Banci, Malaysia, Selangor, Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia, Jabatan Perangkaan Negeri Selangor, Muhammad Amri Idris, eCensus



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.