Dua kapal kontena yang terlibat dalam pelanggaran di perairan Pelabuhan Pasir Gudang Selasa lepas diarah untuk membayar bon jaminan bernilai RM1 juta bagi setiap kapal kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata ia sebagai bon jaminan bagi kerja-kerja pembersihan dilakukan susulan tumpahan minyak di perairan itu, yang merupakan tanggungjawab pemilik kapal sepenuhnya.

"Jabatan Alam Sekitar juga mengeluarkan arahan penahanan untuk menahan kapal terbabit bagi membayar bon jaminan RM1 juta setiap kapal serta-merta kepada kerajaan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Sekiranya gagal membayar, kerajaan akan terus menahan kapal tersebut mengikut Seksyen 38 Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Alam Sekitar negeri, di sini hari ini.

Ayub berkata tindakan juga diambil mengikut Seksyen 27 akta sama untuk tindakan perundangan di mahkamah dan menyita kapal.

"Bagaimanapun, kerajaan akan mengembalikan bon itu sekiranya pihak kerajaan berpuas hati dengan kerja-kerja pembersihan tetapi kita akan mengira kos operasi pembersihan untuk membuat tuntutan kepada pemilik kapal," katanya.

Menurut Ayub, arahan mengikut Seksyen 31 Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan untuk membenarkan Johor Port Bhd mengeluarkan muatan bagi memudahkan operasi pembersihan dijalankan.

Dalam waktu yang sama, beliau berkata pemilik kapal juga bertanggungjawab membayar pampasan kepada kira-kira 350 nelayan yang terjejas berikutan insiden itu.

"Kita telah minta Jabatan Perikanan untuk mengumpul data bilangan dan kerugian yang dialami nelayan," kata Ayub.

Sementara itu, kawasan penternakan ikan dan kupang di Kampung Pasir Putih, Kampung Asli Teluk Kabung dan Kampung Asli Kuala Masai merupakan antara kawasan yang dikenal pasti terjejas akibat tumpahan minyak daripada pelanggaran itu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan Azli Mohd Aziz berkata tinjauan ke lokasi penternakan tersebut mendapati terdapat banyak kesan minyak yang melekat dalam jaring hingga menyebabkan ikan-ikan yang diternak mati.

"Pagi tadi saya pergi ke dua kampung dan mendapati jaring-jaring ikan di penternakan tersebut dipenuhi dengan minyak yang menyebabkan ikan tidak dapat timbul ke permukaan air. Tong yang berisi kupang juga terjejas kerana dipenuhi minyak.

"Jadi bila ikan tidak timbul, kita pun tidak dapat beri makanan kepada ikan kerana makanan ikan tidak tenggelam, jadi ikan akan mati sebab tidak dapat makanan," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, penternak ikan ketika ini sedang berusaha membersihkan jaring-jaring ternakan mereka menggunakan jet air bagi memecahkan minyak-minyak yang terperangkap.

"Antara spesies ikan yang diternak di sini ialah ikan kerapu, siakap, dan ikan merah, nelayan-nelayan kita bimbang sebab ikan-ikan yang mereka ternak sekarang tidak dapat makan," kata beliau.

Azli berkata wakil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah pun datang untuk meninjau keadaan dan pihaknya masih menunggu laporan.

Semalam, seramai 371 nelayan dari enam kawasan perkampungan nelayan di sekitar Pelabuhan Pasir Gudang dilaporkan bakal mengalami kerugian lebih RM130,000 apabila tidak dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan selama seminggu berikutan tumpahan minyak.

Dalam kejadian 11.01 malam Selasa lepas, kapal Han Wai dilaporkan mengalami kerosakan terputus bekalan elektrik menyebabkan kapal tidak boleh dikawal dan akhirnya melanggar bahagian tangki kapal APL Denver, mengakibatkan sejumlah minyak tumpah dari tangki kapal itu.

-- BERNAMA