Singapura dan Malaysia telah mencapai kata sepakat dan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kebenaran merentasi sempadan untuk dua kategori.

Dua kategori itu adalah laluan hijau timbal balik (RGL) dan pengaturan ulang alik berkala (PCA) yang dijadualkan bermula Ogos depan.

Jelas Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, SOP yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat itu melibatkan ahli-ahli perniagaan dan mereka yang berurusan antara negara.

Seterusnya, kategori rakyat Malaysia yang berada di Singapura serta rakyat Singapura yang berada di Malaysia dan mereka boleh membuat permohonan merentas sempadan bermula 10 Ogos ini.

"Kalau ikutkan, saya nak buka sempadan negara esok tapi lusa kena tutup balik sebab kita mahu membuat keputusan yang tepat dan wajar.

"Pendekatan kategori lain banyak bergantung terhadap mereka yang terlibat, jika mereka berdisiplin, ikot SOP selain jumlah COVID-19 meningkat tidak," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan sulung dengan rakan sejawatnya di Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Pertemuan tersebut berlangsung di garisan kuning sempadan antara dua negara di tambak Johor.

Kata Hishammuddin, pembukaan sempadan untuk kategori ketiga dan keempat bergantung pada tahap disiplin serta pematuhan SOP kategori satu dan dua.

Seramai 400 orang daripada kategori pertama dijangka merentasi sempadan selepas seminggu ia dibuka.

Seterusnya, kategori kedua had maksimum yang dibenarkan pula hanya 2,000 orang sehari.