Dua lagi kes COVID-19 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah lewat petang Rabu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, dua kes tersebut adalah kes ke-20 iaitu seorang lelaki warganegara China berumur 27 tahun dan telah disahkan COVID-19 pada 14 Februari dan seorang lagi wanita warganegara China berumur 32 tahun dan telah disahkan COVID-19 pada 14 Februari lepas.

"Sehubungan itu, jumlah kes yang telah pulih sepenuhnya dan discaj sehingga hari ini ialah 17.

"KKM juga ingin memaklumkan bahawa tiada kes baru dilaporkan pada hari ini, 20 Februari.

"Jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 22 kes dengan hanya lima kes masih dirawat di wad," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Program Inisiatif Kesihatan Mental di Universiti Malaya di sini, pada Khamis.

BACA: COVID-19: Dua warga Iran maut, kes pertama di Asia Barat

TONTON:
Belum wujud vaksin COVID-19 - WHO

Pada majlis sama, Dr Dzulkefly turut menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Malaya dan Johnson and Johnson Sdn. Bhd.

Dalam pada itu jelas Dr Dzulkefly, semua lima kes yang masih dirawat adalah dalam keadaan stabil

Lima kes itu adalah tiga di Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan seorang lagi di Hospital Sungai Buloh.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly menjelaskan dua daripada empat rakyat Malaysia di dalam kapal persiaran Diamond Princess yang disahkan positif COVID-19 berada dalam keadaan stabil. Mereka kini berada di Hospital Fujita di Nagoya untuk menerima rawatan lanjut.

"Seorang lagi penumpang warganegara Malaysia, seorang wanita berusia 61 tahun, telah disahkan negatif jangkitan COVID-19 dan dibenarkan pulang ke Malaysia oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun setelah menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Manakala seorang lagi warganegara Malaysia yang juga salah seorang kru kapal persiaran tersebut masih dalam pemantauan di dalam kapal oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun," jelasnya,

Dalam pada itu, kata Dr Dzulkefly, seramai 350 penumpang dan 230 kru kapal MV Genting Dream yang tiba di Pelabuhan Klang dari Singapura sehingga kini tidak menunjukkan gejala dijangkiti COVID-19.

Jelasnya, ia disahkan selepas ujian dan saringan yang dijalankan sejak 3 petang selepas kapal itu tiba pada 12 tengah hari Khamis.

"Kapal itu tidak pernah ke China. Setibanya tiba di Pelabuhan Klang, pihak berkuasa kesihatan telah naik ke kapal untuk melakukan saringan dan mana-mana penumpang bergejala diletak pemantauan di atas kapal atau pusat kuarantin.

"Sehingga kini, saya difahamkan tidak ada seorang pun yang bergejala, setakat 3 petang ini." katanya.

Kapal itu membawa penumpang 957 dan jumlah keseluruhan kru adalah seramai 1,701.