Dua lagi mayat kru kapal korek JBB Rong Chang 8 yang terbalik ditemui oleh Badan SAR National (BASARNAS) Indonesia di perairan Pulau Rapat, Indonesia kira-kira 12 tengah hari pada 29 Mac lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan oleh BASARNAS, lokasi penemuan mayat tersebut dari lokasi kejadian dianggarkan 54 batu nautika dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, identiti mayat yang ditemui masih belum dikenalpasti dan pihak agen kapal telah dimaklumkan untuk menghantar wakil ke lokasi untuk proses pengesahan identiti.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan mayat yang dijumpai di Indonesia adalah mangsa daripada sembilan yang masih dicari.

Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ke-12 masih diteruskan.

Usaha mencari baki tujuh kru kapal ditumpukan di perairan Melaka hingga Tanjung Tohor, Muar dengan keluasan pencarian hampir 600 batu nautika persegi.

Setakat ini, lima mangsa yang ditemui selamat, dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Fatimah, Muar.

Manakala dua mayat lagi sudah dikenal pasti dan empat lagi masih menunggu pengesahan identiti.

Orang ramai diminta menghubungi Maritim Malaysia di talian 07-2219231 jika terlihat atau menjumpai mangsa-mangsa di sekitar kawasan pencarian.