Dua lelaki cedera ditembak semasa minum bersama beberapa rakan di sebuah kedai kopi di Pekan Bukit Gambir dekat Tangkak, pagi ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi, dipercayai dilakukan seorang tidak dikenali yang memakai helmet bertutup penuh dan bersenjatakan sepucuk pistol semiautomatik.

"Tujuh das tembakan dalam jarak dekat telah dilepaskan suspek ke arah kumpulan mangsa yang sedang minum.

"Selepas kejadian, suspek bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata kedua-dua mangsa yang berumur 30-an dihantar ke Hospital Muar dan Melaka untuk rawatan dan keadaan mereka stabil.

Polis sedang menyiasat dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menyalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tangkak ASP Azmi Ali di talian 012-3344200 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di 06-9787471.

-- BERNAMA