Dua lelaki warga India yang ditemui mati dalam rumah sewa mereka di Taman Bertam Ria, di sini semalam dikatakan sering bertengkar antara satu sama lain sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata menurut majikan mereka, beliau selalu melihat dua pekerjanya itu Mubarak Ali, 28, dan Azad Mubarakbhai, 26, selalu bertengkar kerana masing-masing tidak berpuas hati antara satu sama lain sejak dua minggu lepas.

"Menurut majikan itu, Mubarak bekerja dengannya sebagai penebar roti canai sejak empat tahun lepas manakala Azad baru bekerja lima bulan lalu sebagai tukang cuci di restoran berkenaan.

"Pada hari kejadian, dua lelaki itu balik berehat di rumah sewa selepas bekerja bermula 7.30 pagi hingga 12 tengah hari dan akan sambung kerja semula pukul 5.30 petang namun tidak hadir semula bekerja," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, majikan itu mengarahkan seorang lagi pekerja pergi ke rumah sewa yang terletak kira-kira 1 kilometer daripada restoran untuk memanggil mereka bekerja semula namun menemui dua mayat rakan sekerjanya itu kira-kira pukul 6 petang.

Pekerja itu kembali ke restoran dan memaklumkan kepada majikannya yang menghubungi polis.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati dua lelaki itu telah bergaduh sebelum Mubarak yang mengalami kecederaan melarikan diri ke bilik air untuk bersembunyi sebelum dia meninggal dunia di situ akibat kecederaan parah.

Terdapat empat luka tikaman pada bahagian perut dan lima luka hirisan di lengan kiri mangsa, katanya.

Noorzainy berkata bila menyedari Mubarak telah mati Azad bertindak menggantung dirinya di kipas siling.

Polis turut menemui pisau digunakan Azad untuk membunuh rakannya.

"Mayat kedua-dua lelaki berkenaan telah selesai dibedah siasat di Hospital Seberang Jaya dan mereka yang mempunyai permit kerja itu akan dibawa balik ke kampung halaman masing-masing di India untuk dikebumikan," katanya.

-- BERNAMA