Dua lelaki ditahan kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol di tiga lokasi sekitar ibu negara, pada Selasa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya, operasi itu diadakan berikutan peningkatan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Seramai 16 pegawai dan anggota digerakkan untuk operasi yang bermula pada 10 malam itu.

"Tiga lokasi di pusat bandar itu dipilih kerana terdapat beberapa buah restoran yang beroperasi sehingga 10 malam menyediakan minuman keras.

"Hasil keseluruhan operasi di ketiga-tiga lokasi telah berjaya menahan dua lelaki yang gagal ujian pernafasan alat Evidential Breath Analyzer (EBA).

"Kedua-dua mereka telah ditahan di bawah Seksyen 45 (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akan dituduh di Mahkamah Trafik Jalan Duta pada awal pagi ini (Rabu)," katanya dalam satu kenyataan.

Pengguna jalan raya diingatkan supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk. Foto JSPTKL

Jelas Zulkefly, operasi ini akan berterusan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh PKPB bagi mengekang pemandu mabuk terlibat kemalangan serta membahayakan nyawa orang lain.

"Pengguna jalan raya diingatkan supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk dan patuhi PKPB dan undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.