Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim, mangsa yang maut dikenali sebagai Ummu Maisarah Kamaludin, 33, dari Selangor dan seorang kanak-kanak perempuan, Syaima' Muhamad Hisyam, 5 tahun.

Kedua-dua mangsa itu, menurutnya merupakan penumpang di bahagian depan dan belakang kereta jenis Proton Perdana.

"Kenderaan yang terlibat ialah sebuah treler jenis Hino, sebuah Perodua Myvi, sebuah lori, sebuah Volkswagen Passat, sebuah Honda Civic dan Proton Perdana.

"Pada pukul 7.10 pagi kami terima maklumat berkaitan kemalangan jalan raya di KM 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, siasatan awal mendapati treler datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh pada lorong kiri.

"Dipercayai tiba-tiba pemandu Perodua Myvi tidak sempat mengelak ke kanan dan melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler, menyebabkan kereta itu berpusing dan berhenti di lorong kanan.

"Setelah itu, datang sebuah lori memperlahankan kenderaan dan di belakang ada Volkswagen Passat yang juga perlahankan kenderaan serta menyalakan 'double signal',' katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya lagi, dipercayai pemandu Proton Perdana terlanggar belakang Honda Civic yang menyebabkan dua mangsa maut.

"Mangsa yang menaiki Proton Perdana, Ummu Maisarah Kamaludin dari Selangor yang merupakan seorang guru, meninggal dunia di tempat kejadian dan Syaima' Muhamad Hisyam yang juga beralamat sama meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

"Bagaimanapun pemandu Proton Perdana yang dikenali sebagai Muhamad Hisyam Zakaria, 35, yang bekerja di bahagian Pendakwaan Mahkamah Syariah Putrajaya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa yang cedera merupakan pemandu Peroduan Myvi, Abd Rauf T. Qiamuddin dari Perlis yang patah tangan sebelah kanan dan pemandu Honda Civic dari Selangor yang luka di kepala," katanya.

Tambahnya, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.