Dua maut sementara dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dengan sebuah kereta di Jalan Jeniang Sik, belakang Klinik Begia, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari tadi, mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Iswara terbabit.

Mereka dikenal pasti sebagai Mohamad Nor Ali, 51 tahun, dan Fatimah Salleh, 48 tahun.

Manakala dua lagi yang cedera parah dikenali sebagai Che Hanuzah Che Ker, 37 tahun, dan Laura Irdina Othman, 2 tahun.

Ketua Polis Daerah Sik, Dep Supt Abdul Razak Osman mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Mohamad Nor Ali. Foto ihsan polis

Fatimah Salleh. Foto ihsan polis

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan identiti mangsa setelah dikenal pasti.

Menurutnya, berdasarkan alamat pada kad pengenalan, Mohamad Nor dipercayai berasal dari Kampung Kepala Bendang, Kepala Batas, manakala Fatimah berasal dari Lukut, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan pertalian mereka.

Foto ihsan bomba

Mohamadul Ehsan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 12.27 tengah hari tadi dan menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik dan dua jentera.

Anggota bomba yang terlibat mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sik oleh pihak Kementerian Kesihatan manakala mangsa yang meninggal diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Foto ihsan bomba