Dua maut manakala enam cedera dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 66 Jalan Kuantan-Segamat di sini, petang Ahad.

Dalam kemalangan kira-kira 3.30 petang itu, mangsa yang maut ialah penunggang motosikal Abdul Jamil Abdul Rahman, 51, dari Lepar, Pekan dan penumpang belakang Proton Wira, Sahripah Bachok, 62.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata mereka yang cedera ialah pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax A Rajasaigaran, 59; pemandu Proton Wira Muhammad Shuaib Ismail, 26, dan isterinya Restyiena Sakinah Mee Chui, 25, serta bayi mereka Muhammad Khairul Thaqif Muhammad Shuaib, 11 bulan.

Dua lagi yang cedera ialah penumpang Proton Wira, pelajar Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir, Semenyih, Afif Haffaz Mohammad Wahiddin, 8, dan abangnya Aqyas Fawwaz Mohamad Wahiddin, 13, yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama Kampung Laut, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, pemandu Proton Saga Mohd Huzaidi Muhamad Alwi, 30, serta pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan yang dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Segamat, bergesel dengan Proton Iswara datang dari arah bertentangan.

"Selepas pelanggaran tersebut, kenderaan pacuan empat roda berkenaan berpusing dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu terlanggar dengan Proton Wira dan motosikal dinaiki Abdul Jamil yang datang dari arah bertentangan.

"Proton Iswara berkenaan juga berpusing ke laluan bertentangan dan terlanggar Proton Saga dipandu Mohd Huzaidi," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Amran berkata kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan kecuali Muhammad Khairul Thaqif yang dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) berikutan kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya mayat mangsa juga dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA