Dua maut kemalangan enam kenderaan di Lebuhraya PLUS

Dua maut kemalangan enam kenderaan di Lebuhraya PLUS
Akibat daripada kemalangan yang terjadi awal pagi ini, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Foto Ihsan JBPM
JOHOR BAHRU: Dua maut, termasuk seorang wanita warga India, selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan enam kenderaan di Kilometer 12.8 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara), awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata, antara kenderaan yang terlibat ialah Perodua Myvi, Honda City, Volkswagen Jetta, Audi A4 dan BMW 328i.

Mangsa yang maut di lokasi kejadian dikenali sebagai G Thiyagarajan, yang memandu kereta Honda, dan penumpangnya, Kathiresan Sudha.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Myvi telah melanggar belakang Honda. 

"Apabila berhenti di tengah jalan, (ia) telah menyebabkan empat kenderaan lain turut melanggar kenderaan yang telah berhenti akibat kemalangan.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat pemandu kenderaan yang mengalami kecederaan dibawa untuk rawatan di Hospital Sultanah Aminah," katanya dalam satu kenyataan.







Menurut Mohd Taib, mangsa yang meninggal disebabkan kecederaan di bahagian kepala, badan dan kaki diserahkan kepada Hospital Kulai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





Sementara itu, komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) balai bomba Tebrau, Ronney Robert berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin.

Sembilan anggota dengan jentera dan EMRS bergegas ke lokasi kejadian.

"Seorang mangsa yang meninggal dunia dan telah terhumban ke dalam gaung sedalam 40 kaki, dibawa naik oleh pihak bomba," katanya.


Foto ihsan JBPM