announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Dua maut kenderaan bertembung dalam kemalangan di Kuala Krai

Dua maut kenderaan bertembung dalam kemalangan di Kuala Krai
Menurut polis, siasatan awal mendapati kereta Toyata Vios yang dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu, hilang kawalan. - Foto ihsan bomba
KUALA KRAI: Dua pemandu maut selepas kereta yang dipandu mereka bertembung dalam kemalangan di KM95.9 Jalan Kota Bahru-Gua Musang dekat Laloh, Kuala Krai pada jam 1.50 petang tadi.

Kedua-dua mangsa yang maut ialah pemandu kereta jenis Toyata Vios, Ng Kein Keong, 44, dan Honda City, Mohamad Zariff Izree Mat, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan kecederaan parah yang dialami.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan awal mendapati kereta Toyata Vios yang dipandu Ng dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu, hilang kawalan.

"Ketika sampai di lokasi kejadian, kereta Toyota Vios yang hilang kawalan memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan Honda City yang dipandu Mohamad Zariff.

"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian, namun penumpang Honda City iaitu dua daripada mereka hanya mengalami patah tangan dan kaki kanan, manakala bayi berusia enam bulan tidak mengalami kecederaan," katanya.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Manakala kedua-dua pemandu yang meninggal akan dibedah siasat paada jam 9 malam ini bagi mengetahui punca kematian.

"Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan selain sampel darah kedua-dua pemandu yang maut turut diambil," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu akan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Mohd Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.08 petang dan tiba di lokasi kejadian jam 2.37 petang.

"Seramai 10 anggota daripada BBP Kuala Krai bergegas ke lokasi kemalangan untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang meninggal dunia di bahagian pemandu.

"Mangsa yang meninggal diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.57 petang," katanya.




Tag: kemalangan maut, kenderaan bertembung, Gua Musang, Ng Kein Keong, Mohamad Zariff Izree Mat, Polis Daerah Kuala Krai, Toyata Vios, Honda City, Hospital Sultan Ismail Petra, PUSPAKOM



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.