Dua maut kereta langgar pokok

Dua maut kereta langgar pokok
Kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan anggota BBP Jitra terpaksa mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas 'Resque Tools'. - Astro AWANI
JITRA: Dua lelaki maut selepas kereta Proton Satria Neo yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah, di sini, awal hari ini.

Mangsa, Mohd Irfan Rosli dan Mohd Aswat Mokhtar, kedua-duanya berusia 23 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon memaklumkan, bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.44 pagi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra tiba di lokasi pada jam 2.51 pagi.

Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan kereta yang dinaiki mangsa yang terbabas dan melanggar pokok.

Kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan anggota BBP Jitra terpaksa mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas 'Resque Tools'.

Sayani berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Adnan Ahmad bersama lapan anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Kedua-dua mayat di hantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Kes kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kemalangan membabitkan kereta yang dinaiki mangsa yang terbabas dan melanggar pokok. Astro AWANI