Dua lelaki ditemukan mati lemas, manakala dua lagi terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Tanjung Berungus, Pitas.

Dalam kejadian itu 12 tengah hari itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mustaib Mumin (umur belum dikenal pasti) dan Suhaimi Salleh, 65.

Manakala dua yang terselamat adalah seorang lelaki dikenali sebagai Mardi Suhaimi dan seorang wanita Owya Timbangan dengan baki seorang lagi penumpang bot wanita masih dilaporkan hilang setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah ketika dihubungi berkata, insiden tersebut berlaku dimana lima individu menaiki bot pam dari arah Kampung Malubang menuju ke Kudat.

"Selepas mereka membeli barangan keperluan di Kudat sekitar jam 11 pagi tadi, kesemua mangsa dikatakan pulang semula ke Pitas menggunakan laluan perairan yang sama.

Lokasi kejadian bot karam berlaku di perairan Tanjung Berungus, Pitas. - Ihsan APMM dan PPM Kudat

"Ketika kejadian, angin kencang dan kira-kira jam 12 tengah hari, bot dinaiki mereka telah terbalik dipercayai akibat dihempas ombak," katanya.

Beliau berkata, ekoran daripada insiden tersebut, seorang wanita berjaya ditemukan selamat oleh sekumpulan penduduk kampung yang menaiki bot menuju ke Kampung Naruntung dan mangsa kemudiannya dihantar ke Kampung Berungus, Pitas.

"Apabila diketahui kejadian ini ,sebuah bot penduduk dari Kampung Berungus telah keluar untuk mencari yang mangsa-mangsa lain.

"Pencarian kemudiannya menemukan tiga mangsa lelaki termasuk dua meninggal dunia," katanya.

Mohd Izaan berkata, usaha mencari mangsa wanita yang hilang dikenali sebagai Lily Sumanti Suhaimi, 29, masih giat dijalankan setakat ini.

"Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat dan Pasukan Polis Marin (PPM) setakat petang tadi telah dihentikan susulan keadaan angin masih kencang dan cuaca gelap.

"Usaha mencari mangsa akan diteruskan pada esok pagi," katanya.