Dua maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di Jalan Teluk Intan-Kampung Gajah pada petang Isnin.

Dalam insiden sekitar jam lima petang itu, perlanggaran kenderaan jenis Toyota Hilux dan Perodua Myvi menyebabkan dua wanita maut di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Pegawai Bomba Kanan II Hisham Md Nor berkata pihaknya menerima maklumat jam 5.09 petang dan pasukannya segera dikerah ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan itu telah menyebabkan dua orang mangsa maut di lokasi kejadian dan ia disahkan oleh pegawai perubatan.

“Mangsa yang lain pula telah dibawa ke hospital oleh pihak ambulans; tiada mangsa yang tersepit,” katanya lagi.

Katanya, anggota turut membuat pemantauan di lokasi kejadian dan melakukan pembersihan serpihan kaca di lokasi sehingga selesai sepenuhnya.

Operasi tamat pada jam 6.11 petang.