Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun antara dua yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta Toyota Vellfire di Kampung Paya Emas, Simpang Renggam dekat sini, malam tadi.

Kanak-kanak itu ialah Farhanah Komahmudah Mohamad Farok iaitu penumpang belakang kereta berkenaan manakala seorang lagi ialah penunggang motosikal Mohd Izahari Abu Hassan, 55 tahun.

Kedua-duanya dilaporkan maut di tempat kejadian.

Ibu bapa Farhanah yang turut berada dalam kereta dan duduk di bahagian hadapan pula tidak cedera tetapi trauma akibat kejadian.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Renggam PBK II Abd Rahim Razali dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian dimaklumkan kepada pihaknya pada pukul 9.45 malam dan berikutan itu, tujuh anggota telah digegaskan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan.

Katanya, kereta dipandu bapa Farhanah itu dipercayai datang dari arah Ayer Hitam dan ingin membelok masuk ke simpang Kampung Paya Mas manakala motor Mohd Izahari datang dari arah bertentangan.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA