Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan baki dua minggu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini dapat diperketatkan lagi dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kluster yang paling dibimbangi pada ketika ini adalah melibatkan jemaah tabligh dan mereka yang pulang dari luar negara.

"Jadi ada dua jangkitan yang kita risaukan. Yang dibimbangi ialah, pertama jangkitan antara jemaah tabligh. Mereka ini ke masjid ataupun surau.

"Ahli jemaah lain yang pergi ke masjid dan surau, walaupun bukan ahli tabligh, mereka turut dijangkiti di sana.

"Yang kedua ialah mereka yang kembali dari luar negara. Dari fasa pertama PKP, kita telah laksanakan kuarantin kendiri.

"Itu membantu memutuskan rantaian jangkitan antara ahli keluarga. Jadi, tindakan itu kita harap dapat diperketatkan lagi untuk tempoh dua minggu yang kritikal ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan fasa kedua PKP yang lebih ketat berkuat kuasa pada Rabu termasuk menetapkan tempoh operasi pengakutan awam, premis perniagaan, restoran termasuk perkhidmatan penghantaran makanan.