Kerajaan mengemukakan dua model rumah bagi pembinaan semula rumah yang rosak sepenuhnya akibat banjir.

Rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu berkonsepkan rumah atas tanah dan satu lagi, beralas tiang setinggi 8 kaki akan dimajukan kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata model rumah itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi.

“Ini salah satu daripada pilihan di mana ia dibina di atas tanah dengan ruang lantai seluas 660 kaki persegi. Yang kedua ini yang dikatakan 8 kaki daripada paras lantai (paras tanah). Kalau kawasan itu mudah ditenggelami air ia lebih terjamin,” kata Muhyiddin.

Proses pembinaan akan dimulakan secepat mungkin selepas pengesahan kerajaan negeri dan dijangka mengambil masa 75 hari untuk disiapkan.

“Pihak jawantakuasa di bawah Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan meniliti dahulu dan setelah disahkan jawatankuasa negeri dan tanah itu milik tuan rumah, projek akan dimulakan. Namun kalau ditumpang tanah lain (mereka perlu) selesaikan status tanah itu dahulu,” tambah Muhyiddin.

Mengikut data terkini, 2,606 unit kediaman mengalami kerosakan sepenuhnya dan 6,275 kediaman mengalami lain-lain kerosakan kecil.

Muhyiddin sebelum itu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas pasca banjir di Bangunan Perdana Putra pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan rumah sementara kepada mangsa banjir seluruh negara.

Selain rumah yang dibina Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kuaters Angkatan Tentera dan Kem Khidmat Negara turut dijadikan sebagai pusat kediaman sementara kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan teruk pada struktur rumah mereka.

Pertama penempatan sementara kerana masih ada yang menumpang dengan keluarga. Jadi ada beberapa projek yang boleh digunakan (sebagai rumah sementara).

“Ini termasuk binaan bangunan PLKN, kem tentera dan lain-lain rumah milik kerajaan yang boleh digunakan untuk meringankan beban mereka bagi memiliki rumah (sementara) yang baik.

Kerajaan juga sudah memulakan penyampaian sumbangan wang ihsan RM500 kepada isi rumah mangsa banjir dan RM5,000 kepada waris yang kehilangan ahli keluarga.