Seorang peserta larian dan pegawai pengiring acara PAAA Annual Round The Island Relay cedera parah dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Bayan Lepas awal pagi Ahad.

Mangsa yang juga peserta larian dikenali sebagai Cheah Ting Cong,16, manakala Lee Foo Beng, 51, merupakan pegawai pengiring pasukan yang menunggang motosikal.

Lee Foo Beng dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang ( HPP) untuk rawatan lanjut manakala Cheah Ting Cong menerima rawatan di Gleneagles Medical Centre (GMC).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua mangsa adalah dari pasukan BM Leopard.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius kejadian berkenaan berikutan acara anjuran Penang Amateur Athletic Association ( PAAA) itu tidak mendapat pengiktirafan daripada MMK Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, pihak kerajaan negeri telah berhubung dengan PAAA dan bersedia memberi bantuan kepada peserta yang cedera dalam kemalangan.

Beliau mengingatkan semua persatuan sukan supaya mematuhi aspek keselamatan ketika menganjurkan sebarang acara.

Ujarnya, semua acara sukan bukan sahaja harus mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan, tetapi harus mendapat sokongan atau pengiktirafan daripada kerajaan negeri di bawah MMK Belia Dan Sukan.

Tegasnya, setiap badan sukan atau penganjur dalam penganjuran acara sukan mesti mematuhi Akta Pembangunan Sukan 1997.

Ini penting bagi memastikan program yang dianjurkan berjalan dengan lancar dan keselamatan diutamakan.

Dalam kejadian sekitar jam 4 pagi Ahad, mangsa dilaporkan dirempuh sejurus selepas majlis pelepasan acara tahunan persatuan itu yang diadakan di Padang Kota, Pulau Pinang.

Acara sepanjang 72.63 KM itu melalui Jalan Gelugor, Bayan Lepas, Sungai Batu, Balik Pulau, Genting, Sungai Rusa, Sungai Pinang, Teluk Bahang, Batu Feringhi, Tanjung Bungah dan Tanjong Tokong sebelum kembali semula ke Padang Kota.