Dua pelajar UiTM sesat di Gunung Tumang Batak dijumpai selamat

Dua pelajar UiTM sesat di Gunung Tumang Batak dijumpai selamat
Sebahagian dari anggota penyelamat sedang mendengar taklimat tentang operasi mencari dan menyelamat dua pelajar UiTM Shah Alam. - Gambar Astro AWANI
SLIM RIVER: Dua mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terkandas di Gunung Tumang Batak sejak petang Jumaat disahkan berada dalam keadaan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Penolong Penguasa Bomba Jasfian Jamaluddin memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada pegawai pengiring mereka berjaya ditemukan.

Bagaimanapun usaha membawa mereka keluar dijangka selewat-lewatnya petang Sabtu.

Menutut Jasfian, mangsa merupakan dua peserta ekspedisi pengembaraan terdiri daripada 74 pelajar dan terbahagi kepada dua kumpulan.
Satu kumpulan 34 pelajar UiTM Shah Alam telah mendaki Gunung Liang di kawasan sama turun dengan selamat ke jalan utama petang Jumaat.

Manakala 38 pelajar UiTM Pasir Gudang yang menaiki Gunung Tumang Batak kini masih berada di Pos Loji Sungai Dara.

Keseluruhan operasi melibatkan 50 orang terdiri daripada bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan PDRM.

Dua pelajar tersebut dipercayai sesat di Gunung Tumang Batak apabila tidak dapat menemui jalan pulang berikutan keadaan gelap pada petang Jumaat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Pegawai Bomba Kanan II Yussly Abdul Lati berkata kedua-dua pelajar berkenaan sedang mengikuti ekspedisi pendakian gunung tersebut bersama 30 pelajar yang lain sebelum sesat lewat 6.27 petang Jumaat.

Difahamkan,kedua-dua pelajar berkenaan tidak meminta kebenaran daripada pihak pengurusan sebelum mengambil keputusan untuk memanjat gunung sendiri.

"Bagaimanapun, pihak kami telah berjaya menghubungi kedua-dua pelajar berkenaan dan telah mengarahkan mereka untuk kekal di lokasi terakhir sehingga pihak bomba datang untuk membawa mereka pulang," katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, operasi penyelamatan masih sedang berjalan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan.