Polis hari ini menahan dua pengedar yang ada kaitan dengan sindiket dadah di negeri ini bersama rampasan dadah jenis syabu bernilai hampir RM700,000.

Kedua-dua suspek ditahan dalam Ops Lejang di Jalan Hamzah, di sini, dan di sebuah rumah di Kampung Merisa Wakaf King Berangan, Tumpat pada Selasa dan Rabu lepas.

Menerusi operasi jam 11.50 malam Selasa, polis menahan sebuah kereta Perodua Kelisa yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Kota Bharu dan menemui dadah jenis syabu sebanyak 10kg yang diletakkan dalam beg pakaian dan dibungkuskan dalam bungkusan teh bertulisan Cina.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata sebelum ditahan dua lelaki berusia 21 dan 31 tahun cuba menyogok polis sebanyak RM21,000 untuk mengelak diri mereka ditahan.

”Operasi sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu mengadakan sekatan jalan raya dan mendapati kereta dua lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka ditahan dan hasil pemeriksaan menemui satu beg pakaian berkunci yang diletakkan di kerusi penumpang belakang. Pada masa yang sama, seorang lelaki merayu supaya tidak ditahan dan meminta polis mengambil wang sebanyak RM21,000 yang berada dalam bungkusan.

“Pemeriksaan lanjut menemui dadah syabu dalam beg berkenaan seberat 10 kilogram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan lanjut seorang daripada suspek yang ditahan membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Merisa Wakaf King Berangan, Tumpat jam 2 pagi Rabu lalu dan menemui satu plastik hitam yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang Honda City.

Katanya, siasatan menemui 10 peket plastik warna biru mengandungi 6,000 biji pil kuda dan sembilan peket plastik mengandungi Syabu seberat 459 gram.

“Polis turut menyita wang tunai RM24,748, dua motosikal Honda EX5 dan Ego LC serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan nilai rampasan RM94,748.

“Mereka ini ada kaitan dengan satu sindiket dadah yang bergiat aktif sejak 2013 dan dadah dipasarkan di Besut, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok.

“Lelaki berusia 31 tahun mempunyai dua rekod kesalahan lampau. Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori,” katanya.