Dua penjenayah ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan ketika pihak polis cuba menyelamatkan seorang mangsa culik, yang juga seorang ahli perniagaan.

Kejadian yang berlaku awal pagi tadi di ladang sawit Sekakap di Mersing itu turut mencederakan pegawai kanan polis dengan tiga kesan tembakan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail berkata mangsa culik yang juga ahli perniagaan berumur 41 tahun juga cedera terkena tembakan di bahagian belakang badan dalam kejadian itu.

Katanya mangsa telah diculik sejak 17 Disember lalu oleh sekumpulan penjenayah bersenjatakan pistol di Taman Gaya Ulu Tiram dan keluarga telah membuat laporan polis pada hari sama.

Penjenayah turut menuntut wang tebusan SG$10 juta (RM30 juta) bagi membebaskan mangsa.

“Polis telah mendapat maklumat awal bahawa mangsa akan dibunuh selepas wang tebusan diperolehi dan kita percaya mangsa juga akan dibunuh sekiranya wang tebusan tidak diperolehi.

“Pada masa kejadian, oleh sebab itu kita bertindak dengan pasukan serbuan bagi menyelamatkan mangsa. Sebab dalam kes ini keutamaan kita untuk pastikan mangsa culik diselamatkan dan dalam insiden ini mangsa culik kita selamatkan, wang tebusan gagal diperolehi jenayah.

“Bagi saya ini satu kejayaan besar yang dilakukan JSJ Kontijen Johor dan (pasukan) D14 Jenayah Terancang Bukit Aman, walaupun harga mahal terpaksa menanggung risiko. Komandan serbuan mengalami kecederan, tetapi Alhamdulillah keadannya stabil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor, di sini hari ini.

Foto Astro AWANI


Jelas Shafie, pada serbuan pertama di di ladang kelapa sawit itu, insiden tembakan mencederakan mangsa culik serta pegawai polis manakala dua penjenayah berjaya lari ke ladang kelapa sawit.

Gerakan Ops Kesan dan Ops Tutup dilancarkan, polis berjaya mengesan dua penjenayah itu di dalam ladang kelapa sawit jam 2 pagi tadi.

Selepas berbalas tembakan, dua penjenayah yang mempunyai rekod jenayah lampau berumur 39 dan 52 tahun itu ditembak mati.

Polis masih mengesan saki baki penjenayah ini yang dipercayai masih aktif.

Kes disiasat dibawah Seksyen 3 Akta Culik 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api.