Polis menahan dua remaja yang disyaki mengeluarkan kata-kata kesat serta menganggu tugas anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Mior Farid Alatrash Wahid berkata, memaklumkan kedua-dua mereka ditahan di sebuah restoran makanan segera dekat Bandar Baru Farlim, Ayer Itam jam 4 petang Jumaat.

Mereka yang bekerja sebagai mekanik dan juruteknik penghawa dingin itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran serta disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan dan denda RM1,000.

Kejadian itu viral di media sosial berhubung perilaku dua lelaki berkenaan apabila memaki hamun tiga anggota MBPP selepas tayar kenderaan mereka dikunci.