Dua lelaki rentung selepas kenderaan dinaiki mereka musnah dalam satu kebakaran di Kilometer 262.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, van dinaiki dua mangsa dilaporkan terbabas sebelum menjunam ke dalam parit di bahu kiri lebuh raya.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu, van berkenaan telah terbakar dan dua mangsa yang berada dalam kenderaan tersebut gagal keluar menyelamatkan diri.

“Kemalangan berlaku ketika sebuah van jenis tidak dikenal pasti dipandu satu lelaki bersama satu penumpang lelaki sedang dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara lebuh raya.

“Apabila tiba di tempat kejadian, van yang dipandu telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan kemudian terjunam jatuh ke dalam longkang besar di bahu lebuh raya sehingga menyebabkan kenderaan itu terbakar,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa maut ditempat kejadian dan identiti mereka masih belum dikenal pasti.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tunku Jaafar Seremban.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Moktar berkata, seramai tujuh anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.16 petang.

Katanya, api marak telah memusnahkan kenderaan itu sehingga 100 peratus.