Tutup

Dua sekolah di Miri ditutup, bacaan IPU berbahaya

Dua sekolah di Miri ditutup, bacaan IPU berbahaya
Keadaan ini didorong oleh kebakaran hutan yang berlaku berhampiran sekolah. - Foto JPBN Sarawak
MIRI: Dua buah sekolah di Miri terpaksa ditutup ekoran catatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya.

Dua sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Baram II dan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Tudan.

Setakat pukul 12 tengah hari ini, ILP Miri catatkan bacaan 411 manakala di SK Kuala Baram, 223.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin, berdasarkan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak proses pengajaran dan pembelajaran dihentikan ekoran IPU melebihi 233.

"Keadaan ini didorong oleh kebakaran hutan yang berlaku berhampiran sekolah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Ismail menasihati semua pihak supaya berwaspada dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan tidak terjejas.