Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendedahkan pernah menegur bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan pimpinan UMNO lain agar tidak menyerang peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad

Jelasnya, teguran yang dibuat kira-kira dua tahun lalu itu bagaimanapun ternyata tidak diendahkan Najib sehinggalah kerajaan ditadbir Pakatan harapan.

"Semasa saya jumpa beliau dua ke tiga tahun dulu di mana 1MDB sudah meletup, apabila beliau sebut bahawa Tun Mahathir mengkritik beliau mengenai 1MDB, saya nyatakan kepada beliau Datuk Seri sendirilah yang selesaikan. Cuma saya cakap saya beritahu supaya beritahu pemimpin-pemimpin UMNO dan orang sekeliling supaya jangan serang peribadi Tun Dr Mahathir," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di ibu negara.

Malah tindakan menyerang Tun Dr Mahathir seolah-olah mengulangi kesilapan yang dilakukan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Semasa zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Mahathir ada membuat teguran, kemudian akhirnya Tun Mahathir dipinggir dan beliau diserang bertubi-tubi pada waktu itu dan kini Datuk Seri Najib mengulangi perkara yang sama," ujarnya.

Beliau berkata, Najib dan orang sekelilingnya ketika itu sepatutnya membuat teguran secara berhemah terhadap Tun Mahathir.

"Teguran sepatutnya dibuat seperti budaya kita orang Melayu, bukan semberono saja. Keadaan tidak berubah (sepeti zaman Tun Abdullah) kerana bertubi-tubi serangan dibuat ke atas Tun Mahathir.

"Saya jumpa Menteri-menteri ketika itu, saya pun ada sebut jangan maki hamun Tun Mahathir kerana ia akan membawa kepada satu kemusnahan," tambahnya.

Kata beliau lagi, Najib lupa bahawa rakyat melihat jasa Tun Mahathir tidak terbilang kepada negara.

"Ada menteri yang cukup angkuh, biadap, sombong dan tidak segan serang Tun Mahathir yang menyebabkan ramai marah kepada UMNO dan menolak parti itu pada PRU14," kata beliau.